fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 kekosongan jawatan bomba diisi tahun ini

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 29 April- Sebanyak 1,483 kekosongan jawatan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diisi tahun ini.

Setakat ini, 509 kekosongan jawatan diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam kepada JBPM melibatkan dua fasa.

Ketua pengarah JBPM, Datuk Ts Nor Hisham Mohammad berkata 276 kekosongan diluluskan fasa pertama manakala 233 lagi untuk fasa kedua.

Kemasukannya melibatkan 29 pelatih bagi Gred 29 yang masuk minggu ini, diikuti Gred 19, Gred 41 dan 29 dalam waktu terdekat, serta pelatih Gred 19 bagi fasa dua yang melibatkan 233 orang.

"Saya dimaklumkan di Johor ada 130 kekosongan, jadi tidak banyak beza dengan nasional lebih kurang 10 peratus jadi kelulusan ini insya-Allah kita akan beri laluan kepada negeri-negeri utama seperti Johor, Kuala Lumpur dan Selangor bagi meningkatkan peratusan ini.

"Ini kerana tiga negeri ini merekodkan insiden yang signifikan," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan Tahun 2023 di sini, hari ini.

Keseluruhannya, JBPM kini mempunyai 13,265 orang pegawai dan anggota sepenuh masa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM