KUALA LUMPUR, 14 Julai – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan pendiriannya menolak sebarang bentuk program motivasi dan pembangunan diri yang bercanggah dengan prinsip Islam, khususnya berkaitan institusi keluarga dan kesejahteraan individu.
Ketua Pengarahnya, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, IKIM menekankan bahawa Islam adalah agama yang menyeluruh, merangkumi semua aspek kehidupan termasuk hubungan diri dengan Allah SWT, keluarga, masyarakat dan akhlak.
"Oleh itu, setiap program motivasi perlu berlandaskan ajaran Islam yang sahih, serta memartabatkan nilai moral dan akhlak mulia," katanya.
IKIM melahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan istilah seperti kasih sayang, penerimaan diri dan kebahagiaan dalam program tertentu yang tidak berpaksikan syariat, malah diselitkan dengan fahaman menyeleweng dan budaya bertentangan dengan akidah Islam.
"Ini termasuk menggunakan modul yang menggalakkan kebebasan syahwat, meremehkan maksiat dan mempromosikan gaya hidup bertentangan dengan fitrah serta nilai kekeluargaan Islam," ujarnya.
Menurut IKIM, pendekatan sebegitu bukan sahaja menyeleweng, malah mengancam institusi perkahwinan serta peranan semula jadi lelaki dan wanita dalam keluarga.
Situasi itu juga satu ancaman serius terhadap generasi akan datang dan kestabilan masyarakat, justeru perlu ditolak tegas oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, umat Islam dinasihat sentiasa berwaspada terhadap pengaruh bertentangan dengan Islam, serta memperkukuh akidah dan membina institusi keluarga yang harmoni.