SEPANG, 17 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek pembangunan landskap hijau dan lestari di kawasan strategik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu melibatkan pembangunan landskap di kawasan utama seperti Terminal 1 dan Terminal 2, termasuk ruang ketibaan dan pelepasan serta laluan utama keluar KLIA.
“Konsep utama yang diketengahkan ialah ‘Harmony in Diversity’. Keharmonian dan perpaduan menjadi dua elemen kunci untuk menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya – merangkumi seni bina, landskap, seni cetakan, artifak, bahasa, tradisi dan sebagainya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Nga Kor Ming pada sidang media sempena pelancaran Projek Pembangunan Landskap di KLIA, di Sepang / Foto FB KPKT
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Projek Pembangunan Landskap di KLIA, di sini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hajah Anifah Atirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan; dan Ketua Pengarah JLN, Mansor Mohamad.
Nga menjelaskan, reka bentuk landskap tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan dalaman Arkitek Landskap JLN, dengan harapan dapat mewujudkan impak visual yang lebih segar dan mesra kepada pelawat antarabangsa.
Menurut beliau, setakat suku pertama tahun ini, Malaysia telah merekodkan lebih 10.1 juta pelancong antarabangsa, sekali gus mengatasi Thailand sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Projek itu dijangka akan menyajikan keindahan visual dan juga keselesaan kepada para pelancong serta delegasi antarabangsa.
Tempoh pelaksanaan katanya dijangka mengambil masa enam bulan, manakala kerja penyelenggaraan akan diteruskan sehingga Disember 2026 sebelum diserahkan kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan ruang awam yang lebih selesa dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” tambah Nga.