KUALA LUMPUR, 23 Januari- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru rakyat negeri itu mengubah gaya pemikiran dengan tidak membuang sampah merata-rata.
Titah baginda, meski kerja-kerja pembersihan dilakukan, namun pembuangan sampah terus berlaku di merata tempat.
"Tindakan sudah diambil. Saya berharap masyarakat menghormati negeri dan alam sekitar kita dan ubahlah pemikiran daripada membuang sampah merata-rata.
Apabila saya pantau selepas kerja pembersihan dibuat, pembuangan sampah terus berlaku di setiap tempat. Tolonglah ubah sikap," titah Tunku Ismail menerusi catatan di Facebook Baginda.
(Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor)
Sebelum ini Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman mendedahkan, pembuangan sampah sarap di bandar raya itu semakin membimbangkan sehingga pernah mencapai kutipan 80 tan sebulan.
Manakala purata sampah yang dikutip agensi berkenaan di beberapa sungai utama, anak sungai serta saliran parit pinjam bandar raya berkenaan pula adalah 50 tan pada setiap bulan.