KUALA LUMPUR, 23 Januari - Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka semula sistem e-Pharmacist bagi pemilihan penempatan latihan siswazah untuk Pegawai Farmasi Gred UF41 mulai 12 tengah hari 30 Januari hingga 1 Februari ini yang sebelum ini dilaporkan mengalami gangguan capaian.
KKM memaklumkan isu itu dikesan setelah aduan diterima daripada calon yang memohon sistem e-Pharmacist sejak ia mula dibuka Khamis lepas dan tindakan segera telah diambil bagi mengenal pasti isu tersebut.
Antara isu yang dikenal pasti adalah terdapat calon tidak dapat mengakses ke sistem pada waktu yang ditetapkan, capaian ke sistem yang perlahan serta terdapat isu calon yang berjaya memilih penempatan di suatu fasiliti melebihi had slot latihan siswazah yang ditetapkan.
"KKM difahamkan bahawa seramai 627 calon ditawarkan pelantikan dan mereka perlu memilih penempatan latihan siswazah pada sesi kali ini.
"Justeru, bagi menangani situasi ini secara berhemah dan berlaku adil kepada calon yang memohon, sistem e-Pharmacist telah ditutup bagi memberi ruang kepada pasukan teknikal ICT KKM menilai dan menangani gangguan teknikal ini," kata KKM menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, KKM memaklumkan tarikh melapor diri bagi mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) masih dikekalkan pada 13 Februari.