fb fb fb fb fb

Kemalangan maut di Kluang: Seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia

JOHOR BAHRU, 22 Januari- Seorang lagi penumpang Produa Myvi maut, menjadikan jumlah penumpang kereta itu yang maut enam orang termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat - Mersing, petang semalam.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan Perodua Myvi, Siti Nurzannah Kahdar, 26.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Mohd Fauzi Md Nor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 4.40 petang yang melibatkan Perodua Myvi dan Honda Stream.

Beliau berkata lima lagi mangsa disahkan maut sebelum ini yang menaiki Perodua Myvi, dikenali sebagai Masrina Kahdar, 21; Muhammad Zharfah Noramin, 16; Muhammad Syakir Noramin, 11; Mohammad Asyraf Radiq Abdullah, 11, dan Muhammad Adil Abdul Kadir, 23.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin berkata Mohd Nor yang mengesahkan perkara itu berkata seorang lagi penumpang kereta Perodua Myvi meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini, malam semalam.

“Siti Nurzannah Kahdar, 26, yang merupakan penumpang bahagian hadapan kenderaan berkenaan meninggal dunia kira-kira 9.30 malam tadi ketika menerima rawatan di zon merah di hospital,” katanya ketika dihubungi.

Bahrin berkata siasatan awal mendapati mereka yang menaiki kereta Perodua Myvi itu dalam perjalanan dari Kluang ke Kahang untuk berkelah di Pantai Air Papan, Mersing.

Beliau berkata Siti Nurzannah, yang merupakan kakak kepada Masrina, mengalami kecederaan di bahagian kepala, perut dan tulang pinggul.

(Enam maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan
di Jalan Mersing-Kahang, Kluang petang tadi/Foto Bomba)

Turut berada dalam kenderaan yang sama dan masih dirawat di zon merah ialah Nur Annalesha Rania, 7, manakala pemandu Mohd Sharizan Syafandi, 24, dirawat di zon kuning akibat kecederaan di kepala, muka dan tangan sebelah kiri.

Dalam pada itu, pemandu dan penumpang kereta Honda Stream yang merupakan pasangan suami isteri Zulkeflly Zakariah, 53, dan Kamariah Yusof, 48, serta anak mereka Ariana Nur Batrisyah Zulkeflly, 13, juga mengalami kecederaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga dan kenalan mangsa memenuhi pekarangan Unit Perubatan Forensik hospital itu, di sini.

Berita berkaitan
Lima maut kemalangan di Kluang

Media Baharu