Titah Agong tekankan kepentingan rakyat – Hannah

FOTO RTM

KUALA LUMPUR , 19 Januari – Kerajaan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar prinsip tadbir urus baik dan usaha membanteras rasuah terus diperkukuh demi kepentingan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh tadbir urus baik demi kepentingan rakyat melalui ketelusan pentadbiran.
  • Memperkasakan usaha membanteras rasuah sebagai tumpuan untuk melindungi kepentingan rakyat.
  • Pemberian akses portal OSC kepada wakil rakyat meningkatkan keterlibatan dan keputusan DBKL yang berpaksikan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, titah berkenaan menyentuh pelbagai isu penting yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat, khususnya dalam aspek membanteras rasuah serta memperkukuh tadbir urus yang baik.

Beliau yakin ahli Parlimen akan membahaskan perkara tersebut secara aktif dan berhemah, selain kerajaan turut bersedia mengemukakan jawapan serta penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

“Jadi saya yakin banyak isu yang telah disentuh oleh Yang di-Pertuan Agong melibatkan kepentingan rakyat, khasnya bagaimana nak melawan rasuah.

“Semua itulah tadbir urus yang bagus, dan saya yakin ahli-ahli Parlimen akan membahaskan dengan rajin, dan pihak kerajaan juga akan sediakan jawapan.

“Tetapi apa yang kita laksanakan sekarang adalah untuk pentadbiran yang lebih telus, untuk pastikan wakil rakyat yang telah dipilih terlibat bersama.

“Jadi, saya percaya dengan memberikan mereka akses kepada portal OSC (Pusat Setempat), semua ini akan membantu rakyat mendapat keputusan yang dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang lebih mementingkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Menteri Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Tambah beliau, langkah yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah ke arah mewujudkan pentadbiran yang lebih telus, termasuk memastikan penglibatan wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemberian akses kepada portal OSC DBKL kepada wakil rakyat akan membantu meningkatkan ketelusan dalam proses membuat keputusan, sekali gus memastikan keputusan DBKL lebih berpaksikan kepentingan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Hannah memaklumkan sebarang pengumuman lanjut mengenai perkara lain akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Jemaah Menteri sebelum dibuat secara rasmi kepada media termasuk mengenai pengurusan tapak bazar Ramadan tahun ini.