fb fb fb fb fb

Tipu bida tender : 26 syarikat dikenakan tindakan, libatkan penalti cecah RM97.3 juta

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali selepas merasmikan Persidangan Persaingan MyCC di ibu negara /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengenakan tindakan ke atas 26 syarikat melibatkan nilai tender berjumlah RM540.72 juta, dengan jumlah penalti mencecah RM97.3 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, 14 kes baharu kini masih dalam siasatan, melibatkan 563 syarikat dengan nilai tender keseluruhan berjumlah RM2.7 bilion.

“Rekod ini menunjukkan keperluan untuk meningkatkan lagi keupayaan MyCC dalam membanteras isu kartel dan tipuan bida.
Alhamdulillah, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan bagi memperkukuh aspek tersebut,” katanya selepas merasmikan Persidangan Persaingan MyCC di sini hari ini.

MyCC memberi tumpuan untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap isu tipuan bida bagi memastikan pelaksanaan dasar tender terbuka mencapai objektif ketelusan dan keadilan dalam perolehan awam.

Selaras dengan itu, Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan telah memperuntukkan dana besar bagi memperkukuh penguatkuasaan kementeriannya dan MyCC.

“Kerajaan mahu agenda memperbanyakkan tender terbuka ini datang bersama dengan usaha meningkatkan tadbir urus dan kawal selia bagi mengekang aktiviti tipuan bida.
Jika tender terbuka dilaksanakan tanpa kawalan yang ketat, ia akan menggagalkan matlamat asal kerajaan untuk mewujudkan keadilan dan ketelusan dalam public procurement,” jelasnya.

Menurut beliau, kedua-dua fokus utama ini adalah bertepatan dalam memperkukuh integriti pasaran serta memastikan persaingan yang sihat dan mampan.

Beliau turut berharap siasatan MyCC akan diperluas kepada sektor swasta, memandangkan amalan tipuan bida dalam sektor berkenaan juga boleh memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekosistem pasaran.

Selain itu, KPDN melalui MyCC akan memperkukuh kerjasama strategik dengan 16 kementerian menerusi pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) bagi membanteras kartel dalam proses perolehan kerajaan.

Majlis itu turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyCC dan Suruhanjaya Persaingan Filipina (PCC) dan MyCC dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia).

SITI NOORAIN ABDULLAH