KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat turut merangkumi klausa keluar atau 'exit clause' bagi melindungi kepentingan negara.
Beliau menjelaskan, pemeteraian perjanjian itu dibuat kerana Malaysia memerlukan pelaburan dan perdagangan bernilai tinggi dari Amerika Syarikat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Perjanjian perdagangan ini semua ada exit clause. Ada exit clause. Kenapa kita tandatangan juga? Kerana kita memerlukan pelaburan dan perdagangan tinggi dengan AS. Justeru kerajaan tidak apologetik terhadap langkah itu.
“Saya bekerja sedaya upaya untuk mendapatkan perhatian daripada negara-negara penting demi faedah negara kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS di Dewan Rakyat hari ini.
Perjanjian berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh hubungan ekonomi dengan Amerika Syarikat, termasuk dalam sektor pelaburan berteknologi tinggi dan perdagangan digital, selaras dengan hala tuju diplomasi ekonomi negara.
