KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Semua pihak seharusnya menumpukan usaha bersama dalam membangunkan negara terutama ketika Malaysia menerima pengiktirafan besar di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak perlu ‘sakit hati’ dengan kejayaan diraih kerajaan hari ini.
“Nama Malaysia harum dalam sejarah ini julung kali berlaku. Gunakanlah kesempatan ini untuk bangunkan negara. Jangan sakit hati dengan kejayaan negara. Ini kejayaan negara. Perdana Menteri boleh datang dan pergi tetapi negara mesti diangkat,” beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Syed Saddiq memuji kebijaksanaan Datuk Seri Anwar dalam mengimbangi hubungan diplomatik meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan geopolitik.
“Saya mahu bertindak adil. Kesian Perdana Menteri sekejap dilabel sebagai pro China pro Rusia beberapa bulan lepas kerana berjumpa dengan Presiden Putin dan Lavrov. Ada yang perli kenapa tak dapat panggilan dari Trump tetapi akhirnya dilabel pro Amerika pula. Sekejap dilabel terpaling Hamas...tetapi merupakan antara pemimpin muslim yang berani berjumpa Ismail Haniyeh, sumbang RM200 juta pelan pembangunan Hamas. Ada satu ketika kena nota diplomatik kerana bertegas soal Palestin.
Hari ini siapa sahaja jadi Perdana Menteri Malaysia perlu bijak mengimbangi hubungan diplomatik dengan negara-negara gergasi besar, kalau tidak impak teruk kepada negara," kata beliau di Parlimen.
