KUALA LUMPUR, 4 Januari - Bekalan Beras Putih Import (BPI) dalam pasaran tempatan mencukupi dan dijual pada harga kawalan seperti ditetapkan oleh kerajaan.
Justeru, cadangan Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal agar Malaysia menambah import beras putih dari negara luar adalah tidak perlu berdasarkan tinjauan semasa.
Menurut penyelia pasar raya, Faezah Rahmat, tiada isu terputus bekalan bagi beras tempatan mahu pun beras import setakat ini.
"Bekalan beras mencukupi. Setiap minggu stok beras masuk seperti biasa," katanya ketika ditemui RTM di ibu negara.
Perkara sama turut disahkan oleh pengurus pasaraya, Alfian Yusof, yang memaklumkan bahawa stok beras putih sentiasa ada tanpa sebarang masalah.
"Untuk beras putih, stok memang mencukupi dan masuk setiap minggu. Namun, ada sedikit kekurangan pada bekalan beras tempatan," jelasnya.
Pihak pasar raya juga menegaskan bahawa mereka akan terus memastikan stok mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna.
Pada Khamis, NACCOL mencadangkan agar Malaysia mengimport beras putih dari Pakistan.
Langkah itu sebagai kaedah yang berpotensi menoktahkan kemelut berhubung harga dan bekalan beras putih di pasaran tempatan.
Bagaimanapun, BERNAS dalam kenyataan media baru-baru ini memberi jaminan bahawa bekalan dan harga Beras Putih Import (BPI) adalah terkawal dan mencukupi bagi keperluan rakyat negara ini.
Malah, pihaknya sentiasa memastikan harga BPI di Malaysia kekal kompetitif dan sejajar dengan corak harga pasaran dunia.