KUALA LUMPUR, 6 November - Teknologi pertanian digital (Digital AgTech) dilancar bagi memudahkan para petani meningkat dan mempercepat hasil pengeluaran dengan lebih produktif.
Inisiatif tersebut dilancarkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata platform itu berpotensi menjana produktiviti lebih 500 projek Digital AgTech yang baru digunakan dengan lebih 60,000 petani terlatih di seluruh negara.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menaruh harapan tinggi kepada pasukan Digital AgTech dalam dua pusingan musim penuaian padi dan perlu menunjukkan peningkatan bukan hanya dari pengeluaran malah juga pendapatan petani yang terlibat," katanya kepada pemberita pada Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023, di sini.
Digital Agtech yang dilancarkan pada Ogos lepas merupakan inisiatif memperkasa petani serta perniagaan tani dengan teknologi terkini.
Ia dilengkapi pelbagai ciri, antaranya ketepatan kepada pemantauan kesihatan tanaman, pengurusan sumber dan analisis prestasi ladang.