fb fb fb fb fb

Tingkat promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 - Raja Muda Perlis

Foto FB Tourism Perlis

PADANG BESAR, 1 Januari- Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang menyasarkan kehadiran 3.5 juta pelancong bermula secara rasmi hari ini, selepas ia dilancarkan oleh DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 7 Disember lalu.

Seiring kemasukan pelancong ke negeri itu, penduduk tempatan disaran merebut peluang menambah pendapatan sepanjang usaha itu dilaksana.

Menurut Exco Kemajuan Pelancongan Negeri, Wan Badariah Wan Saad, rakyat negeri itu boleh bertindak sebagai duta bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis dengan mempromosikan Perlis sebagai destinasi percutian pilihan.

Pelbagai pendekatan boleh dimanfaat dalam menggamit kehadiran pelancong terutamanya menerusi media sosial, berkongsikan mengenai budaya setempat, keindahan flora dan fauna serta kelazatan makanan tempatan.

"Kita menggalakkan pengusaha-pengusaha sama ada pemain industri pelancongan sendiri atau pun pengusaha produk hiliran untuk sama-sama mempromosi produk masing-masing dan juga sebagaimana bajet kita, bajet untuk negeri Perlis kita ada RM500,000 untuk tujuan promosi."

Jadi, pemain industri rebutlah peluang untuk memohon peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk tujuan promosi tempat masing-masing dan juga produk masing-masing," jelas Wan Badariah kepada pemberita pada Program Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Turut hadir, Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan, Izizam Ibrahim.

Selain ICQS Padang Besar, tujuh lagi lokasi bagi melaksanakan sambutan kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Perlis antaranya ialah di View Point Wang Kelian, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Gua Kelam 1 dan Jeti Kuala Perlis.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM