KUALA LUMPUR, 2 Jun- Kemahiran 'Psiko Pendidikan' perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat.
Ia termasuk memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kaedah pengurusan stress serta langkah intervensi bagi menangani tekanan.
Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains kesihatan UKM, Profesor Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata pendidikan seumpama membantu individu memahami emosi, seterusnya menangani situasi tekanan dengan lebih baik.
"Psiko Pendidikan perlu diadakan secara meluas. Ini penting kerana sehingga kini kesedaran masyarakat tentang kesihatan mental itu rendah. Bila rendah, sukar untuk mereka dapatkan cara atau kaedah sesuai tangani tekanan.
"Sebab itu kita bagi yang sangat ringkas, senyum, sayangi diri, hargai diri. Ini perkara penting cara untuk kita menangani isu-isu kesihatan mental masa kini. Kalau kita sayang diri kita, kita tidak akan menganiaya diri kita, akan sayangi diri kita dan meletakkan nilai yang tinggi pada diri kita,"katanya.
Jelasnya, mempunyai tekanan pada tahap sewajarnya adalah baik dan disifatkan boleh menjadi faktor pendorong kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.
Bagaimanapun, tekanan secara berlebihan untuk jangka masa panjang bakal memudaratkan kesihatan dan meningkatkan risiko terhadap penyakit.
Profesor Madya Dr. Shazli Ezzat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.