(V. Sivakumar kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Pusat Pembangunan
Kemahiran Pulau Pinang)
GEORGE TOWN, 14 Julai- Majikan terutama dalam sektor pembuatan disaran memberi peluang kepada pekerja mereka menjalani latihan dan pembangunan bakat bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata langkah itu perlu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir agar kekal relevan dengan tuntutan Revolusi Perindustrian 4.0.
Inisiatif dijalankan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan TalentCorp menerusi Industry Driven Talent Acceleration Programme (ID-TAP) amat diperlukan demi kemampanan tenaga kerja negara.
"Memberi ruangan dan peluang kepada pekerja-pekerja mereka untuk menjalani latihan dan pembangunan, sangat penting walaupun banyak inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Sumber Manusia agensi-agensi bawah kementerian dan juga oleh PSDC.
"Tetapi kalau tidak ada minat daripada pihak majikan untuk menghantar pekerja-pekerja mereka menjalani latihan, semua usaha ini akan menjadi sia-sia sahaja," kata V. Sivakumar kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang di sini.
Tambahnya, program seperti itu dapat memberi manfaat kepada negara berikutan latihan yang diberi kepada tenaga kerja bertepatan dengan keperluan industri.
(Tingkat kemahiran pekerja penuhi keperluan industri)