fb fb fb fb fb

Tingkat hebahan, galakan permohonan pembiayaan SPUMI

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishan

KUALA LUMPUR, 12 Mac- Pelbagai inisiatif digerakkan dalam usaha menggalakkan permohonan pembiayaan Skim Program Pembangunan Usahawan India (SPUMI) dalam kalangan usahawan masyarakat India. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishan, antara inisiatif tersebut adalah mengadakan kerjasama dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Malaysia Associated Indian Chambers and Industry (MAICCI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk meningkatkan hebahan tentang SPUMI.

"Kami telah menyediakan kaunter khidmat nasihat semasa program dan pameran keusahawanan yang diadakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensinya seperti Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)", katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Sementara itu, sebanyak 28,439 individu menerima manfaat Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sejak 2008 hingga Januari lalu. Ia melibatkan pembiayaan lebih RM442 juta.

Tahun ini, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan usahawan dalam kalangan masyarakat India menerusi skim tersebut. Ia dijangka bakal memanfaatkan 1,600 orang usahawan. 

ROSLINA BINTI DIN