fb fb fb fb fb

Tindakan penguatkuasaan terhadap kumpulan ajaran sesat adalah bidang kuasa jabatan agama islam negeri

(Datuk Idris Ahmad ketika ditemui pemberita RTM)

BUKIT GANTANG, 22 Ogos- Tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana kumpulan ajaran sesat adalah tertakluk di bawah bidang kuasa jabatan agama islam di peringkat negeri.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa perkara itu di bawah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tambahnya, JAKIM hanya menyelaras aduan yang disampaikan oleh masyarakat.

Namun perkara tersebut tetap dipandang serius, sekiranya "pihak jabatan agama negeri, JAKIM tu kalau ada maklum pada kita, kita akan laporkan, kalau berlaku di Perak kita akan hubungi Jabatan Agama Islam Perak untuk bertindak, kalau berlaku di Selangor kita akan terus berhubung dengan Jabatan Agama Islam Selangor, kerja kita hanya menyelaras untuk bertindak terhadap kumpulan-kumpulan tersebut." Katanya ketika ditemui pemberita RTM.

Beliau turut menegaskan, antara langkah lain yang digerakkan JAKIM bagi menangani ajaran sesat termasuk menerusi penekanan dalam teks khutbah dan forum-forum perdana yang dijalankan.

Umat Islam yang ingin mendalami ilmu agama juga dinasihatkan agar mencari guru berlandaskan syariat agar tidak berlaku pemesongan akidah akibat salah faham daripada perkara yang disampaikan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan Bantu Rakyat, Parlimen Bukit Gantang di Kampung Sungai Tinggi, Trong.

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika diĀ 
Program Jualan Bantu Rakyat,Parlimen Bukit Gantang di Kampung Sungai Tinggi, Trong)

Media Baharu