KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Tindakan segera mampu menyelamatkan nyawa dan masa depan kanak-kanak daripada menjadi mangsa penderaan atau pengabaian, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, masyarakat perlu melaporkan sebarang salah laku terhadap kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau pihak polis, bagi mengelakkan tragedi yang boleh meragut nyawa.
"Lebih cepat aduan dibuat, lebih cepat nyawa dan masa depan anak itu dapat diselamatkan," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 di PPR Kerinchi, di sini, hari ini.
Program advokasi itu memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai hak mereka, selain menggalakkan keberanian untuk bersuara jika berdepan penderaan, pengabaian atau buli termasuk di alam maya.
Tahun ini program berkenaan disasarkan ke 300 sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara, berbanding 300 sekolah yang telah dicapai tahun lalu.
"Menjaga keselamatan kanak-kanak bukan sahaja tugas kerajaan. Ia adalah tanggungjawab kita bersama sebagai ibu bapa, guru, jiran dan seluruh komuniti.
"Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat dan penuh kasih sayang," katanya lagi.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan.