fb fb fb fb fb

Tindakan lebih tegas diperlukan untuk kekang jenayah hidupan liar

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Undang-undang berkaitan jenayah hidupan liar perlu digubal semula.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tindakan lebih tegas diperlukan bagi mengekang kegiatan terbabit.

Menurut beliau, kementeriannya komited mengambil tindakan proaktif untuk mengukuhkan pemuliharaan hidupan liar dan habitatnya melalui pelbagai inisiatif.

(Takiyuddin Hassan berucap merasmikan sesi webinar bersempena Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2022, hari ini)

Ini bagi menjaga khazanah negara yang amat bernilai dalam menjamin kestabilan ekosistem.

Antara cabaran yang dihadapi ialah pemburuan dan perdagangan haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, perubahan guna tanah, fenomena perubahan iklim dan penyakit zoonotik juga menjadi faktor penyebab pengecilan hidupan liar negara.

"Meningkatkan kadar denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun sebagai langkah pencegahan bagi menangani jenayah hidupan liar," kata Takiyuddin ketika merasmikan sesi webinar bersempena Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2022 hari ini.

Menurut beliau, pihak kementerian sedang membangunkan instrumen kewangan baharu untuk mendapatkan dana konservasi.

Selain itu, usaha secara konservasi hidupan liar melalui penglibatan kolektif semua pihak termasuk masyarakat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat akan dipergiat.

Media Baharu