fb fb fb fb fb

Timor-Leste mahu perkukuh kerjasama serantau dengan ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Presiden Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta, menegaskan komitmen negaranya untuk memperkukuh hubungan serantau bersama ASEAN, khususnya menerusi kerjasama strategik dengan Malaysia dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan serta minyak dan gas.

Menurut Ramos-Horta, Malaysia bukan sahaja rakan dagang penting, malah telah menyumbang kepada usaha menghubungkan Timor-Leste ke rantau ini.

"Oleh itu, kami perlu memperluaskan hubungan perdagangan dengan Malaysia serta syarikat-syarikat dan kerajaan Malaysia untuk melabur dalam bidang ini. Segala-galanya meliputi infrastruktur, potensi minyak dan gas sama ada di darat mahupun di laut. Malah, ada projek yang telah beroperasi sejak 15 tahun yang lalu.

"Dalam sektor pelancongan pula, kini kami telah mempunyai laluan penerbangan terus dengan Batik Air," katanya.

Beliau turut berkongsi peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membantu membuka laluan penerbangan Timor-Leste melalui AirAsia sedekad lalu.

"Kerjasama dengan Malaysia amat penting, sejajar dengan usaha Timor-Leste melengkapkan kriteria terakhir keanggotaan ASEAN, khususnya dalam bidang ekonomi dan pembangunan infrastruktur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan "GLIDE 2025: Dialogue Initiative – Global Justice and Peace Through Dialogue" yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC, di sini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang memberikan sokongan terhadap inisiatif tersebut.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku “Anwar Ibrahim: Global Justice and Peace Through Dialogue” hasil tulisan Yusmadi Yusoff. Buku itu menghimpunkan gagasan dan perjuangan Perdana Menteri Malaysia dalam mempromosikan dialog sebagai asas diplomasi, keadilan, dan perpaduan global.

GLIDE 2025 menjadi simbol komitmen Malaysia dalam menjayakan usaha keamanan dan keadilan dunia, serta memperkukuh jalinan antara negara ASEAN melalui pendekatan yang inklusif dan damai.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI