fb fb fb fb fb

Timbalan Perdana Menteri Singapura mengadap Agong di Istana Negara

(Al- Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan isterinya, Loo Tze Lui di Istana Negara)

ISTANA NEGARA, 6 September - Yang Di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Musatafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isterinya, Puan Yang Terutama Loo Tze Lui di Istana Negara.

Berangkat sama pada pertemuan tersebut, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis menghadap tersebut merupakan antara pengisian utama dalam rangka lawatan kerja Wong selama tiga hari di negara ini setelah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura pada Jun lalu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit itu, Al-Sultan Abdullah dan Lawrence Wong telah menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sejak sekian lama di antara Malaysia dan Singapura.

Baginda bertitah, kedua-dua negara perlu terus bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang dan peringkat terutama dalam fasa pemulihan pasca COVID-19.

Sebagai sebuah yang negara yang berjiran, mereka juga perlu saling melengkapi dan memperkasakan hubungan sosial, perdagangan serta pelaburan ke tahap tertinggi untuk manfaat bersama.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan Singapura.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh beberapa isu-isu kepentingan bersama antara Malaysia dan Singapura.

Yang Di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Singapura atas persilaan kepada Baginda untuk mengadakan Lawatan Negara ke Singapura selama tiga hari bermula pada 19 September depan.

Lawatan Negara yang dijadualkan itu akan mengukuhkan lagi keakraban dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan nilai dagangan berjumlah AS$64.43 billion tahun lalu

Dari segi pelaburan, Singapura merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia dengan nilai sebanyak AS$38.62 billion.

Turut hadir pada petemuan tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon.


(Al- Sultan Abdullah bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong)

Media Baharu