fb fb fb fb fb

FLORIA 2022 dilanjutkan sehingga 11 September, masuk percuma

(FLORIA 2022 mendapat sambutan hangat sejak hari pertama ia berlangsung pada 29 ogos lalu)

PUTRAJAYA, 6 September- Sempena cuti persekolahan, Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (FLORIA) 2022 yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 11 September depan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, pengunjung juga boleh menikmati yuran kemasukkan percuma bermula esok.

Jelasnya lagi setakat hari ini, FLORIA 2022 telah mencatatkan kehadiran seramai 400,000 pengunjung sepanjang sembilan hari ia berlangsung.

"Walaupun tiket masih tida dapat menampung kos kita tapi itu bukan matlamatnya, matlamat kita ialah untuk rakyat Malaysia, persembahan kepada Keluarga Malaysia, sekarang ini sahaja kita dah capai 400,000 pengunjung, saya jangka ia akan bertambah lebih 100,000 lagi dan kita bagi lawatan percuma,"kata Shahidan.

Beliau berucap pada Majlis Penutupan Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 di Putrajaya.

Floria Putrajaya yang bermula 29 Ogos sepatutnya berakhir pada 4 September lalu, namun penganjurannya ditambah dua hari sebelum dilanjutkan sekali lagi pada hari ini.

Pelbagai program dan persembahan menarik akan diadakan termasuk cabutan bertuah.

Pada majlis itu juga, Datuk Seri Shahidan turut mengisytiharkan bunga raya atau hibiscus rosa-sinensis sebagai bunga rasmi bagi Putrajaya dan Wilayah Persekutuan.

Tambahnya lagi dalam masa terdekat pihaknya juga akan menganjurkan pameran dan pertandingan lambang bunga bagi setiap bandar dan bandaraya yang ada di seluruh negara.


(Datuk Seri Shahidan bergambar kenangan pada Majlis Penutupan FLORIA 2022 di Putrajaya)

Media Baharu