fb fb fb fb fb

Tiket feri ke Langkawi habis dijual sempena cuti Tahun Baharu Cina

Foto Fail

ALOR SETAR, 22 Januari- Tiket perjalanan feri ke Langkawi dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah habis dijual sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Perkhidmatan feri yang melibatkan sembilan perjalanan hari ini, kebanyakannya habis dijual melalui tempahan dalam talian.

Tinjauan RTM di Feri Terminal Penumpang Kuala Kedah mendapati jadual perjalanan ke Langkawi bermula seawal pukul 9.30 pagi dan berakhir pukul 6.00 petang nanti.

Turut habis dijual tiket dari Langkawi ke Kuala Kedah yang melibatkan tujuh perjalanan.

Menurut penumpang, Mohamad Yazid Mohamad Shaari dan Ang Huan Hui, pulau peranginan Langkawi sentiasa menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk bercuti.

"Di Langkawi, banyak tempat kita boleh pergi. Boleh buat aktiviti bersama anak-anak. Feri pun saya ingat semalam ada, rupanya dah habis. Jadi, kami terpaksa pergi hari ini," kata Yazid ketika ditemu bual pemberita RTM.

"Pada waktu sekarang ini, ramai yang akan pergi bercuti. Tambah pula dengan cuti Tahun Baharu Cina, cuti panjang. Bolehlah berjalan dengan keluarga," kata Ang Huan Hui kepada pemberita RTM.

Dalam pada itu, tindakan operator haram yang menyediakan perkhidmatan meletak kenderaan ke Langkawi di Kuala Kedah menaikkan harga berkali ganda, menjadi rungutan pengunjung.

Bayaran yang dikenakan kepada pengunjung dinaikkan kepada RM40 sehari daripada RM10 manakala ejen yang mencari pelanggan akan diberi upah RM10 bagi setiap kenderaan.

Perkhidmatan tempat meletak kenderaan yang sedia ada dibawah pengurusan Pejabat Pelabuhan Kuala Kedah Jabatan Laut Wilayah adalah tidak mencukupi.

Rungutan itu disuarakan penduduk, Awatif Anuar.

"Cadangan saya adalah lebih baik pihak pengurusan membina bangunan meletak kenderaan bertingkat. Jika ia dibina, saya rasa ia amat memudahkan pengunjung yang datang untuk mendapatkan ruang letak kenderaan dan lebih bersistematik," kata Awatif menyuarakan pendapatnya kepada pemberita RTM.


(Penduduk Kuala Kedah, Awatif Anuar)

Caj letak kenderaan yang dikenakan pada hari biasa adalah RM15 manakala pada cuti umum, RM20.

Media Baharu