fb fb fb fb fb

Remaja lemas di Pantai Batu Layar, ditemukan meninggal dunia

KOTA TINGGI, 22 Januari- Seorang remaja lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas lemas ketika mandi di pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Johor, kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Mayat mangsa, Mohamad Imran Mohd Nazie, 16 tahun berjaya ditemukan pengunjung pantai dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari ketika dihubungi memaklumkan operasi mencari seorang lagi mangsa lemas sedang dijalankan.

Remaja lelaki, Hani Suefyan Hanizam, 17 tahun yang turut hilang ketika mandi masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan kawasan seluas 500 meter dari lokasi kejadian.

Mayat Mohamad Imran dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

29 anggota terlibat dalam operasi tersebut, dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Maritim Malaysia dan Pejabat Kesihatan.

Operasi ditamatkan sementara sebelum diteruskan semula esok.


(Anggota JBPM melaksanakan tugas menyelamat di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi sejurus
mendapat maklumat berhubung kes terbabit)

Media Baharu