fb fb fb fb fb

Tiga warga Perancis sesat, ditemukan selamat

CAMERON HIGHLANDS, 18 Mac - Tiga warga Perancis ditemukan selamat selepas tersesat di Gunung Berembun.

Tiga mangsa iaitu Marin Pierre Babin, 20 tahun serta dua wanita Camille Pallud, 22 tahun dan Lou Ann Boinet, 21 tahun, ditemui orang awam di salah satu laluan di gunung berkenaan kira-kira jam 7.12 malam.

Penolong Pengarah, Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.56 petang.

"Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga mereka dipercayai tersesat di lokasi antara 'trail' tujuh dan lapan laluan gunung berkenaan. Mangsa yang gagal mencari jalan turun menghubungi pihak bomba untuk bantuan", katanya.

(Anggota BBP bersama warga Perancis yang sesat, ditemui selamat)

Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands ke lokasi untuk operasi pencarian serta dibantu anggota pejabat hutan menggerakkan pendakian menuju ke lokasi mangsa dilaporkan tersesat.

Katanya, mangsa kemudian dilaporkan ditemui oleh Aaron Goh yang kebetulan melalui laluan itu dan operasi diteruskan bagi membantu membawa turun tiga warga asing itu.

Ketika ditemui, mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya keletihan.

Ketiga-tiga mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Media Baharu