KUANTAN, 21 Oktober- Tiga warga Myanmar ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan di dalam sebuah kabin di tapak projek di Jalan Anggerik, Rompin, Selasa lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang melibatkan mangsa lelaki berusia antara 21 dan 33 tahun itu pada 3.15 petang, hari sama.
"Hasil pemeriksaan awal terhadap kawasan sekeliling dan badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dapat dikaitkan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata bedah siasat telah dijalankan di Hospital Rompin dan mendapati mangsa meninggal dunia akibat keracunan, namun punca sebenar belum diketahui kerana masih menunggu laporan ujian makmal.
Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, katanya. - BERNAMA