fb fb fb fb fb

Tiga sungai di Kedah lepasi paras bahaya

FOTO APM Kubang Pasu

ALOR SETAR, 19 September- Tiga sungai di Kedah direkodkan melepasi paras bahaya dengan trend meningkat setakat 9.30 pagi tadi.

Sungai terbabit ialah Sungai Laka, Sungai Sari dan Sungai Gurun.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu mencatatkan 22.80 meter meningkat dari 22.15 meter semalam dan melepasi paras bahaya 21.6 meter.

Manakala Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap kekal 28.68 meter melepasi paras bahaya 28.5 meter.

Sementara itu Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan mencatatkan 3.81 meter berbanding semalam 3.95 meter .

Beberapa sungai lagi berada pada paras amaran dan waspada dengan trend meningkat antaranya Sungai Janing dan Sungai Perik di Padang Terap, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Bata di Kubang Pasu.

Sementara itu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kubang Pasu iaitu di Sekolah Kebangsaan Malau berikutan banjir.

Pegawai Pertahanan Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata setakat pukul 11 pagi tadi seramai 53 penduduk terjejas daripada 15 keluarga ditempatkan di situ.

Ia melibatkan penduduk dari enam buah kampung di Mukim Malau.

Kampung berkenaan ialah kampung Padang Panjang , Kampung Biak, Kampung Lubuk Ipoh, Kampung Lahar, Kampung Baru dan Jalan Peranginan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE