KUALA LUMPUR, 2 Januari- Sejumlah tiga stesen dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya, manakala tujuh lagi melebihi paras amaran membabitkan negeri Pahang, Kedah dan Terengganu, setakat pukul 9.00 pagi tadi.
Menerusi laman sesawang InfoBanjir JPS, kesemua tiga stesen melebihi paras bahaya itu direkodkan di Pahang melibatkan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan dengan bacaan 16.53 meter (m), Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin (12.51m) dan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat, Rompin (10.52m).
Sementara itu, empat lagi sungai di negeri tersebut melebihi paras amaran iaitu Sungai Pahang di Lubok Paku, Maran (18.5m), Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong Rompin (22.22m), Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran (30.5) dan Sungai Triang di Triang, Bera (34.8).
Kedah pula merekodkan satu sungai melebihi paras amaran iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar dengan bacaan 1.64m, manakala Terengganu membabitkan Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (20.15m).
Dalam pada itu, 19 sungai lagi merekodkan paras air melebihi tahap waspada membabitkan tujuh di Pahang, diikuti Sarawak (3), Kelantan (3), Johor (2) dan masing-masing satu di Kedah, Melaka, Sabah, dan Selangor.