KUALA LUMPUR, 2 Januari- Rakaman tular memaparkan aksi menari beberapa individu di sebuah hangar berlatar belakang tulisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini adalah program "Rock The World 2023" yang diadakan pada 16 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, konsert itu berlangsung di tapak Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang telah lama dan sudah ditutup.
Katanya, tapak itu juga telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju.
“Pada 31 Disember lalu, pada pukul 3.30 petang terkesan satu video berdurasi 16 saat dimuat naik oleh pemilik akaun X bernama ‘Isu Semasa Viral’ memaparkan beberapa individu sedang menari sambil mendengar muzik.
"Hasil siasatan polis mendapati, kejadian tersebut berlaku pada 16 Disember lalu di KL Base, Jalan Lapangan Terbang Lama, PGU Kuala Lumpur ketika berlangsungnya konsert Rock The World 2023,” katanya dalam kenyataan.
Amihizam berkata, pihaknya telah menerima pemakluman dan lesen telah dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular berkenaan.