fb fb fb fb fb

Tiga remaja sesat di Gunung Keriang ditemukan selamat

Tiga remaja berusia 14 hingga 19 tahun ditemukan selamat selepas sesat ketika mendaki di Gunung Keriang, semalam

ALOR SETAR, 9 Mei- Tiga remaja berusia 14 hingga 19 tahun yang sesat ketika mendaki Gunung Keriang di sini, semalam, berjaya diselamatkan oleh bomba.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kedah menerima panggilan mengenai kejadian melalui talian MERS999 pada pukul 6.02 petang.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II Noor Syakirah Rosli bersama 11 anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan gunung berkenaan menemukan kesemua mangsa dalam keadaan selamat.

Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim memaklumkan, mangsa membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun, manakala dua lagi remaja perempuan berusia 14 dan 17 tahun.

Ketiga-tiga mereka berjaya dibawa keluar menggunakan tali penyelamat yang turut dibantu oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Seorang malim gunung turut dibawa ke hospital selepas tercedera pada bahagian kaki ketika membantu operasi SAR terbabit.

Operasi SAR tamat sepenuhnya pada pukul 3.28 pagi tadi.

SITI AISHAH MD ISA