fb fb fb fb fb

Tiga pemaju di Johor diberi notis larangan, gagal patuhi syarat PDRC

Exco negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor/BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 24 November- Tiga pemaju di Johor telah diberikan notis larangan menjual perumahan yang telah dimajukan, susulan kegagalan membangunkan rumah mampu milik di negeri itu. 

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata tindakan diambil susulan pemaju berkenaan gagal mematuhi syarat pembinaan Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Pembangunan (PDRC). 

"Kita bukan kaveat pada satu pembangunan sahaja. Jika ada nama syarikat itu, kita akan kaveat keseluruhan.

Mereka pun tiada tindakan selepas setahun itu. Bila kita panggil semula, mereka biasanya banyak dalih dan beri alasan. Kita terpaksa mengambil tindakan yang paling keras dan sebenarnya terdapat lagi beberapa syarikat," kata Datuk Mohd Jafni, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa Persidangan Ketiga,Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini.

Setakat ini, PDRC juga telah bertemu dengan lebih 100 pemaju bagi memberi peringatan mengenai pembinaan rumah mampu milik. 

Separuh daripada pemaju berkenaan, telah memberi komitmen bagi membina dan menyiapkan rumah kategori rumah berkenaan menjelang tahun hadapan. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM