IPOH, 24 November - Kadar cukai taksiran tidak boleh dinaikkan secara mendadak kerana langkah itu boleh membebankan rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menegaskan untuk itu proses penilaian semula cukai itu mesti mementingkan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan mencadangkan kenaikan cukai dilakukan secara beransur-ansur dan mengambil kira kadar inflasi semasa.
"Sebagai contoh, kadar cukai taksiran hanya boleh dinaikkan sebanyak dua hingga lima peratus sahaja setiap dua tahun.
"Pendekatan ini telah berjaya di Pulau Pinang dengan kadar kenaikan kecil tetapi konsisten telah menerima sambutan baik daripada rakyat. Saya yakin Ipoh juga boleh mengkaji dan mengambil pendekatan serupa agar rakyat tidak terbeban," katanya dalam kenyataan.
Pada 22 November, media melaporkan semakin ramai warga bandar raya Ipoh yang mengemukakan bantahan terhadap kadar baharu cukai taksiran sebanyak sembilan peratus yang akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Sementara itu, Nga berkata isu cukai taksiran itu telah dibangkitkan dalam Majlis Negara Kerajaan Tempatan baru-baru ini.
"Dasar kerajaan adalah jelas, ini adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Semua bantahan dan maklum balas akan diteliti untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah adil," katanya.