PASIR MAS, 24 November- Larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember depan, tetap akan dikuat kuasa dan terpakai untuk semua termasuk pelajar.
Namun, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak berkata terdapat mekanisme tertentu bagi pelajar untuk ke sekolah.
Menurutnya, perkara itu akan diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Sudah ada strategi dan sebagainya. Jadi, insya-Allah kita kena laksanakan demi kedaulatan dan keutuhan wilayah kita, Malaysia dan Kelantan.
Undang-undang ini terpakai kepada semua. Semua perkara ini perlu dilaksanakan secara berhemah. Undang-undang perlu dikuatkuasakan," kata Hamzah kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui media selepas mengadakan mesyuarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pasir Mas.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata keselamatan sempadan Malaysia-Thailand perlu diberi keutamaan.
Justeru, beliau memohon orang ramai sama ada mahu ke Thailand atau sebaliknya, supaya menggunakan tiga pintu masuk yang sah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata untuk atasi masalah pelajar di sempadan menggunakan pangkalan haram, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dan JPN akan melaksanakan sebagaimana yang diputuskan.
Media sebelum ini melaporkan, hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.