KUALA KEDAH, 17 Januari - Tiga nelayan tempatan yang dilaporkan hilang di laut setelah keluar merawai di perairan Pulau Payar pada 9 Januari sebelum ditemui selamat di Indonesia, pada 13 Januari lalu dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Proses dokumentasi serta beberapa prosedur tertentu telah dilakukan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sebelum ketiga-tiga mereka dibawa pulang ke negara ini.
Proses penghantaran pulang Asrulhisham Zainon, 47 tahun dan anaknya Mohd Aiman Asrulhisham serta seorang lagi individu dikenali sebagai Mohd Amin.
Sebelum ini, ketiga-tiga mereka disahkan selamat setelah berjaya menghubungi keluarga mereka pada tengah hari Isnin lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC Langkawi) menerima maklumat daripada adik mangsa memaklumkan mangsa telah menghubungi ibu mereka dan memberitahu bahawa mereka selamat.
"Badan Mencari Dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia yang dihubungi pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah memberi pengesahan bahawa ketiga-tiga mangsa telah diselamatkan oleh nelayan Aceh Tamiang dan berada dalam keadaan yang baik," kata Romli.
Maritim Malaysia menerusi MRSC Langkawi kemudian mengadakan rundingan bersama Badan Mencari Dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia bagi urusan membawa pulang ketiga-tiga mangsa berkenaan.
Orang ramai khususnya komuniti nelayan yang mengesan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.