fb fb fb fb fb

Tiga nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kemaman

Tiga nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kemaman selepas gagal dihubungi sejak mereka keluar ke laut, Ahad lalu / Foto RTM

KEMAMAN, 16 Oktober - Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sejak mereka keluar ke laut, Ahad lalu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman menerima laporan awam berhubung kejadian tersebut sekitar pukul 2.15 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) sekitar pukul 2.50 petang.

Pangkalan Hadapan CARILAMAT turut dibuka di perkarangan pejabat Zon Maritim Kemaman bagi menyelaras operasi mencari.

"Mokhtar Yusoff, 69 tahun, Mohd Sukri Mokhtar, 46 tahun dan Nasir Yusoff telah keluar pada 13 Oktober lalu dan kebiasaannya akan pulang selepas dua hari, namun sehingga kini mereka masih belum pulang serta gagal dihubungi," katanya menerusi kenyataan.

Maklumat mengenai OP CARILAMAT telah disalurkan kepada pasukan mencari dan menyelamat yang berada di kawasan perairan Kemaman untuk melakukan pencarian awal dan pengesanan.

Sektor rondaan awal tertumpu sehingga 30 batu nautika dalam radius perairan Kemaman untuk mengesan kedudukan vesel memandangkan tiada maklumat spesifik tentang lokasi terakhirnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN