KUANTAN, 24 Januari - Tiga individu maut termasuk seorang daripadanya terbakar dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3, Tanah Putih, Kuantan.
Dalam kejadian pada jam 11.30 malam tadi, mangsa Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33 tahun; Azura Iskandar Mohamad, 32 tahun dan Nur Izara Al Aishah, 5 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi RTM memaklumkan, empat lagi mangsa lain mengalami kecederaan ialah Mohd Fairus Md Yusof , 40 tahun; Mohamad Al Hafiz Ikram Mohd Fairus, 11 tahun; Nurul Al Aziana Ashikin, 10 tahun dan Mohamad Al Alif Ikmal, 9 tahun.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Adzarul Fadzlie dari arah Gambang menghala ke Kuantan, dipercayai hilang kawalan dan bergesel dengan Proton Saga yang dipandu Mohd Fairus, dinaiki bersama isteri dan empat anaknya.
Akibat pelanggaran, kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri yang menyebabkan kereta Proton Iswara terbakar.
Katanya, kemalangan itu mengakibatkan pemandu Proton Iswara meninggal dunia akibat terbakar di seluruh badan manakala dua penumpang Proton Saga, Azura Iskandar dan Nur Izara Al Aishah meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di kepala.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 16 pegawai dan anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota, Kuantan dan Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada pukul 11.34 malam.
Dalam operasi itu katanya, pihak bomba menggunakan dua jentera pemadam api dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.