fb fb fb fb fb

Tiga maut dalam kemalangan jalan raya di Kelantan

Dua wanita maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar dua kereta dari arah bertentangan di KM 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, petang semalam/Foto orang awam

KUALA KRAI, 3 September - Dua wanita maut selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kuala Krai, Kelantan, petang semalam.

Kejadian berlaku dari arah bertentangan di KM 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang sekitar pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Mazlan Mamat, berkata kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Motosikal yang ditunggang oleh seorang wanita berusia 48 tahun itu sedang dalam perjalanan dari SMK Pahi menuju ke Kampung Baru Pahi, manakala sebuah kereta dari arah Kuala Lumpur menghala ke Machang.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal tersebut membelok ke kanan untuk memasuki simpang tiga berhampiran tempat kejadian.

"Pada masa yang sama, kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dari arah bertentangan tidak sempat membrek dan melanggar motosikal tersebut sebelum berlanggar dengan sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki, manakala pembonceng berusia 49 tahun mengalami kecederaan di kepala.

Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk dibedah siasat, sementara pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mazlan berkata kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang membelok ke kanan tanpa memastikan keadaan lalu lintas selamat.

Dalam kejadian berasingan di Tanah Merah, seorang lelaki berusia 57 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat (Kg. Batu Hitam) pada pukul 2 petang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt Mohd Haki Hasbullah, berkata kejadian berlaku apabila sebuah pacuan empat roda dari arah Jeli ke Machang hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, kereta tersebut melanggar mangsa yang sedang berhenti di bahu jalan dan berdiri di luar pintu keretanya.

"Mangsa, seorang buruh, tercampak ke dalam gaung dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala tiga penumpang lain dalam kereta mengalami kecederaan ringan," katanya.

Kedua-dua kes kemalangan ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

GRACE AISYAH KEDAYAN