fb fb fb fb fb

Tiga mati dalam larian lembu jantan Sepanyol

(FOTO REUTERS)

MADRID, 21 Julai- Tiga lelaki termasuk seorang pelancong Perancis meninggal dunia minggu ini selepas mengalami kecederaan parah semasa festival larian lembu jantan di timur Sepanyol.

Dua lelaki, masing-masing berusia 50 dan 46 tahun, maut selepas dirempuh dengan ganas oleh seekor lembu laga pada Selasa lepas dalam larian lembu jantan yang diadakan di pinggir bandar pelabuhan timur Valencia, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan tempatan.

Seorang pelancong Perancis berusia 60-an yang menerima rawatan rapi sejak ditanduk seekor lembu jantan di sebuah kampung berhampiran Alicante pada 8 Julai meninggal dunia pada Isnin, kata jurucakap itu.

Festival larian lembu jantan, melibatkan kumpulan peserta berlari di hadapan satu atau lebih lembu laga seberat setengah tan, merupakan tradisi Sepanyol yang telah lama wujud dengan banyak bandar mengadakan acara sedemikian setiap tahun.

(Tiga mati dalam larian lembu jantan Sepanyol/Fail AFP)

Festival paling terkenal diadakan di bandar utara Pamplona pada bulan Julai.

Festival San Fermin yang berlangsung selama seminggu menyaksikan beratus-ratus orang berani berlumba setiap pagi dengan enam ekor lembu laga di sepanjang laluan sepanjang 850 meter dari kandang simpan ke gelanggang lawan lembu Pamplona.

Lima orang telah ditanduk sepanjang festival tahun ini yang berakhir pada 14 Julai. Secara keseluruhan, enam belas orang mati di Festival Larian Lembu Pamplona sejak 1911. - AFP

Media Baharu