fb fb fb fb fb

Tiga masjid utama bawah JAKIM diimarahkan, sokong kempen #GengSubuhMacamJumaat

Datuk Dr Mohd Na’im menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Telor, di sini, hari ini.

KOTA TINGGI, 21 Januari- Tiga masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal diimarahkan sebagai inisiatif menyokong kempen #GengSubuhMacamJumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kempen itu akan diteruskan di peringkat Persekutuan, bertitik tolak daripada kejayaan kempen berkenaan yang dimulakan selebriti Alif Satar, ditambah pula dengan kejayaan Program Semarak Subuh oleh Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Mohd Na’im berkata perancangan sedang dibuat bersama agensi berkaitan serta selebriti berkenaan dengan program pertama dijangka diadakan pada 27 Januari ini.

“Datuk Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor) Mohd Fared Mohd Khalid pun ada sebut, semasa Menteri Besar hadir (pada Program Semarak Subuh) semalam, hampir menitis air mata terharu sebab lihat kebanyakan yang hadir ialah anak-anak muda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Telor, di sini, hari ini.

Program Semarak Subuh yang merupakan inisiatif Onn Hafiz, mula dilaksanakan 5 Januari tahun ini di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor membabitkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh negeri ini.

Sementara itu, kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan Alif sejak Disember tahun lepas juga mula menjadi ikutan ramai dan turut digerakkan pempengaruh lain di seluruh negara.

ZEHRA BINTI ZAMBRI