fb fb fb fb fb

Tiga mangsa pemerdagangan manusia selamat pulang ke Malaysia

Mangsa, seorang wanita dan dua lelaki berusia antara 23 hingga 30 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) pada pukul 5.00 petang.

SEPANG, 27 Oktober- Orang ramai dinasihatkan agar tidak memberikan wang tebusan kepada pihak tertentu yang mendakwa boleh membantu menyelamatkan ahli keluarga yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan meminta agar ahli keluarga yang terlibat menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) dan MCCC yang akan mengkoordinasi usaha menyelamat serta membawa pulang mangsa.

"Hubungi kita, insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya menyelamatkan mereka kerana kita mempunyai banyak rangkaian yang boleh membantu membawa pulang mereka ke sini.

"Yang penting kita dapat menyelamatkan mereka dan tidak menjadi mangsa di negara orang," katanya pada sidang media MHO di atas kejayaan membawa pulang tiga mangsa sindiket pemerdagangan manusia dari Myanmar.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan MHO dan MCCC dengan tindakan meminta wang tebusan bagi setiap usaha menyelamat yang dibuat.

Pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkaitan yang sering membuat tohmahan berhubung isu wang tebusan tersebut.

Terdahulu, tiga lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar berjaya di bawa pulang ke tanah air hari ini.

Mangsa, seorang wanita dan dua lelaki berusia antara 23 hingga 30 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) pada pukul 5.00 petang tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata kesemua mangsa dijanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan di Bangkok.

Mangsa akhirnya menyedari mereka telah diperdaya sindiket pemerdagangan setelah diseludup masuk ke Tachileik, Myanmar.

Tambah Hishamuddin, MHO bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan Myanmar dalam usaha mengesan keberadaan mangsa sebelum berjaya diselamatkan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM