KUALA LUMPUR, 7 Mac - Tiga kolaborasi melibatkan perniagaan Malaysia dan China dimeterai pada Sidang Kemuncak Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) China-Malaysia 2024.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Chang Lih Kang berkata kerjasama itu bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan antara China dan Malaysia serta perkembangan inovasi dan teknologi.
"Saya gembira menyaksikan pelancaran Perikatan Industri Inovasi Teknologi Malaysia-China (MCTIIA) antara Persatuan Sains dan Teknologi Wilayah Shaanxi, Beijing Zhongguancun Science City, Iskandar Malaysia dan TusStar Malaysia, dan Institut Ketukangan Moden Ekonomi Digital China-Malaysia antara Guangxi Finance Vocational Technical School, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Tus-Innovation Cross-border E-commerce Co. Ltd dan TusStar Malaysia," katanya ketika berucap pada sidang kemuncak itu, di sini.
Tambah Chang, beliau percaya usaha sama dengan China akan menggalakkan inovasi dan memberi lebih banyak peluang kepada inovator Malaysia untuk bekerjasama di peringkat global dalam bidang STI serta meningkatkan peluang untuk mewujudkan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan yang didorong oleh ekonomi dan berasaskan matlamat tertentu.
"Tema persidangan iaitu "Memupuk Kolaboratif, Inovasi, Membina Masa Depan Bersama" mencerminkan komitmen untuk sama-sama maju ke arah masa depan yang dibina hasil kolaborasi inovasi dan fokus tertentu terhadap komitmen serta kerjasama yang mendalam antara China dan Malaysia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi," katanya.