
TANJUNG MALIM, 12 November – Perancangan awal, pelaksanaan yang cekap dan manfaat kepada rakyat merupakan tiga keutamaan dalam pembangunan bandar di Perak.
- Rancang perumahan, pengangkutan, sistem saliran dan kemudahan awam selari dengan pembangunan perindustrian, pelaburan dan pertambahan penduduk.
- PBT dan agensi teknikal perlu tambah baik kaedah kerja, permudahkan kelulusan serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
- Utamakan keselamatan, alam sekitar dan kepentingan awam; nilai bandar pintar melalui tindakan segera, penyelenggaraan kemudahan dan usaha tangani banjir.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keperluan perumahan, pengangkutan, sistem saliran dan kemudahan awam perlu dirancang lebih awal, seiring dengan pertumbuhan kawasan perindustrian, kemasukan pelaburan serta pertambahan penduduk.
“Inilah tiga keutamaan yang saya harap menjadi pegangan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi perancang di Perak, iaitu merancang lebih awal, melaksanakan setiap perancangan dengan cekap serta memastikan hasilnya dapat dinikmati rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, di sini hari ini.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal juga perlu menambah baik kaedah kerja, memudahkan proses kelulusan serta mempercepat penyampaian perkhidmatan.
Dalam usaha melaksanakan langkah itu, aspek keselamatan, alam sekitar dan kepentingan awam perlu terus diberi perhatian.
Pembangunan bandar pintar dan mampan perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan pengiktirafan, tetapi juga melalui tindakan segera terhadap aduan penduduk, penyelenggaraan kemudahan awam serta usaha menangani masalah seperti banjir.