
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ketiga-tiga Kapal Misi Pesisir ‘Batch 2’ (LMSB2) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka akan ditauliahkan sepenuhnya menjelang hujung tahun 2027.
- Pembinaan ketiga-tiga kapal di Turkiye berjalan lancar dan menepati jadual sejak kontrak 2024.
- Kapal LMS kedua telah dilancarkan dan diberi nama rasmi, dijangka diserahkan kepada TLDM pada penghujung tahun hadapan.
- Jadual penyerahan: Oktober bagi kapal pertama, November bagi kapal kedua dan Disember bagi kapal ketiga.
- Tuntutan RM1 bilion terhadap syarikat pertahanan Norway, mereka mohon perbincangan, tuntutan Malaysia tetap diteruskan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembinaan kapal-kapal berkenaan di Turkiye, setakat ini berjalan lancar dan menepati jadual pelaksanaan sejak kontrak ditandatangani pada tahun 2024.
“Pada Ahad lalu, kapal LMS kedua telah berjaya dilancarkan dan diberikan nama rasmi. Kita menjangkakan kapal tersebut akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada penghujung tahun hadapan.
“Berdasarkan maklumat, jadual penyerahan adalah pada Oktober bagi kapal pertama, November bagi kapal kedua dan Disember bagi kapal ketiga. Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) MINDEF dan ATM 2026 di Wisma Perwira ATM, di ibu negara.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai tuntutan RM1 bilion ke atas sebuah syarikat pertahanan dari Norway, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada syarikat berkenaan untuk mengadakan perbincangan.
“Kita memang ada menerima permintaan daripada syarikat berkenaan untuk mengadakan perbincangan. Bagaimanapun, apa sahaja perbincangan yang ingin diadakan, tuntutan kita tetap berjalan seperti biasa.
“Kita masih belum berjumpa dengan pihak syarikat tersebut dan belum mengetahui perkara yang ingin mereka bincangkan. Namun, kita telah menerima surat daripada syarikat berkenaan,” katanya.
Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport bagi peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.