fb fb fb fb fb

Tiga gajah liar rosakkan tanaman pekebun Sungai Terah

GUA MUSANG, 12 Februari- Lebih 300 pekebun di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini resah dengan ancaman serangan tiga ekor gajah liar di kawasan itu sejak Khamis lalu.

Seorang pekebun, Mohamed Noor Awang Hamat, 70 tahun, berkata dia terkejut selepas lebih 200 tanaman seperti pisang, cempedak dan ubi kayu di kebunnya di Kampung Subong musnah dipercayai dirosakkan gajah liar semalam.

Menurutnya, dia kerugian RM5,000 sehari apabila lebih 200 pokok pisang, ubi kayu dan cempedak dimusnahkan kumpulan gajah itu.

“Pagi semalam apabila sampai di kebun saya dapati sekurang-kurangnya 200 pokok pisang dan pokok ubi kayu dirosakkan gajah.

“Saya kerugian kira-kira RM5,000 hanya dalam satu malam,” katanya ketika ditemui di kebunnya di sini.

Pekebun berharap tindakan segera dapat diambil dan mereka kini masih memantau serta mendengar nasihat daripada Perhilitan untuk tidak mengambil tindakan sendiri terhadap haiwan liar itu.

Sementara itu, seorang lagi pekebun, Wan Ab Talib Wan Jusoh, 69, berkata serangan gajah liar itu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung yang mengusahakan tanaman pisang, ubi kayu dan sawit, selain terpaksa menanggung kerugian besar setiap kali mamalia itu muncul di kebun.

"Kita berharaplah pihak-pihak berkenaan segera mengambil tindakanagar masalah ini tidak berpanjangan.

"Kerugian tetap kerugian tetapi tiada siapa yang akan menanggungnya. Oleh itu mohon segereakan kepada pihak berwajib sama ada kerajaan mahupun pihak perhilitan kerana ini membabitkan penduduk berpendapatan rendah, membanting tulang tidak kira siang atau malam," katanya.


(Lebih 300 pekebun di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini resah dengan ancaman
serangan tiga ekor gajah liar di kawasan itu sejak Khamis lalu)

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada penduduk. 

“Aduan diterima pada 10 Februari berkenaan kejadian di RPT Kesedar Sungai Terah, sehubungan itu kakiangan kami di Gua Musang telah ke lokasi aduan untuk pemantauan bagi tindakan selanjutnya,” katanya. 

Katanya, selain di Kampung Subong, RPT Sungai Terah, pihaknya turut menerima aduan gajah di Kampung Lebur Jaya dan Panggung Lalat.

Media Baharu