KLUANG, 20 Oktober -Tiga ekor gajah liar dewasa berjaya ditangkap sekitar daerah Kluang, Johor pada 14 dan 16 Oktober lalu, hasil usaha bersepadu dilakukan antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon dalam kenyataan berkata, gajah pertama yang memiliki saiz tapak kaki berukuran 39.37 sentimeter ditangkap di Ladang DK Ternak pada 14 Oktober.
"Dua lagi gajah, masing-masing bersaiz tapak kaki, 35.56 dan 27.94 sentimeter, ditangkap di Kebun Kelapa Sawit Taman Wawasan Kahang," katanya menerusi kenyataan itu.
Katanya, proses translokasi ke habitat asal sedang disusun, dengan pemantauan rapi bagi menjamin keselamatan penduduk dan kebajikan haiwan terbabit terus terpelihara.
"Operasi ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan PERHILITAN dalam menangani isu konflik manusia-hidupan liar secara berhemah dan berasaskan sains konservasi," katanya.