JELI, 18 Disember - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menangkap tiga ekor gajah liar yang mengganggu penduduk di Kuala Balah, di sini.
Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohamad Hafid Rohani dalam kenyataan berkata, tangkapan dilakukan semalam selepas menerima aduan penduduk.
Menurut beliau, operasi tersebut disertai pegawai dan anggota Pejabat PERHILITAN Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan.
"Tangkapan gajah liar terbabit sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan tersebut seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami akibat kemusnahan tanaman dan harta benda," menurut Hafid.
Operasi pemindahan dan pelepasan haiwan itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
Penduduk dinasihat mengambil beberapa pendekatan bagi mengelak kejadian sama berulang antaranya memasang lampu led biru di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun dan sentiasa membersihkan kebun dan membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun.
Mohamad Hafid berkata, tangkapan dan pemindahan gajah liar yang menganggu penduduk bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Stong Utara.
Justeru beliau menasihatkan pekebun-pekebun mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) iaitu satu kaedah paling berkesan bagi menghalang haiwan terbabit memasuki kawasan kebun seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun.
Bagaimanapun, pembinaan SPEG hendaklah mengikut spesifikasi yang sepatutnya bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.