KUALA LUMPUR, 18 Disember- Malaysia dan China dalam usaha meneroka potensi mewujudkan hab perubatan halal dan koridor perdagangan halal di Malaysia.
Ke arah itu, kedua-dua negara perlu bekerjasama bagi menyelaraskan proses pensijilan bagi membolehkan China memenuhi piawaian halal di negara ini.
Menerusi teks ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, Malaysia memberikan penekanan besar terhadap kerjasama dalam sektor halal untuk memastikan piawaian diperingkat antarabangsa dipenuhi.
"Dengan berbuat demikian, kita dapat meningkatkan daya tarikan dan permintaan terhadap produk halal China-Malaysia serta mewujudkan platform bersepadu untuk pembangunan perniagaan yang menguntungkan kedua-dua negara," kata Datuk Mohamad, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penutup Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024.
Tambahnya, Malaysia, komited sepenuhnya dalam sektor perdagangan halal dan memperuntukkan 14,300 ekar untuk hab halal khusus untuk menghasilkan produk untuk pasaran global.
Menjelang 2030, Malaysia menyasarkan untuk mengembangkan industri halal kepada AS$113.2 bilion.