KUALA LUMPUR, 28 Mac- Tidak wujud kartel atau monopoli dalam industri gula, tetapi duapoli iaitu syarikat MSM dan CSR.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, kerajaan mengawal harga gula putih bertapis iaitu RM2.85 untuk gula kasar dan RM2.95 untuk gula halus.
Jelasnya lagi, selain dari kedua-dua jenis gula tersebut, kerajaan tidak mengawal gula perang, gula kristal, gula icing dan gula batu.
"Izinkan saya beri sedikit penjelasan berkenaan kegunaan istilah yang selalu diguna pakai oleh ahli-ahli parlimen yang kadang-kadang tidak menepati.
"Yang pertama berkenaan perkataan monopoli. Monopoli bermakna hanya ada satu pemain sahaja dalam satu-satu industri. Jadi semua industri yang disebut oleh Tasek Gelugor seperti simen, ayam, telur, gula ini bukan monopoli.
"Yang kedua monopoli tidak menyalahi undang-undang kerana Malaysia tidak ada undang-undang antimonopoli.
"Yang ketiga monopoli jadi salah apabila industri salah guna kedudukan mereka yang dominan dan mereka mendominasikan keadaan dalam pasaran," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan.
(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh)
Tambahnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sentiasa memantau pasaran bagi memastikan syarikat dominan tidak membuli pemain industri yang kecil dan mengekalkan iklim persaingan yang sihat di Malaysia demi kebaikan pengguna dan ekonomi negara.
Setakat ini, MyCC sedang aktif menyiasat lebih dari 500 syarikat atas dakwaan terlibat dalam kartel tipan bida berkaitan perolehan kerajaan melibatkan lebih RM2 billion.
Perolehan-perolehan kerajaan yang menjadi fokus penyiasatan MyCC sekarang adalah sektor perkhidmatan, makanan, pembinaan dan pembekalan.