KUALA LUMPUR, 25 Ogos – “Malaysia tidak pernah berpaling. Dalam setiap pertemuan antarabangsa, di Tokyo, Beijing, New Delhi mahupun Eropah, saya tidak pernah lupa membawa suara saudara kita di Gaza. Usaha ini belum selesai, kita harus gandakan sokongan.”
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau susulan perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin di Dataran Merdeka malam tadi.
Menurut Perdana Menteri, perjuangan rakyat Palestin bukan sekadar peperangan, sebaliknya satu bentuk penjajahan paling zalim yang merampas tanah, rumah, keluarga dan nyawa, malah turut memusnahkan sekolah, masjid serta gereja.
"Kita tahu adakalanya perjuangan ini terasa melelahkan. Kadangkala terasa buntu dan tanpa harapan. Tetapi janji Allah jelas. Pertolongan-Nya itu dekat. Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang," katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan terus konsisten menyuarakan isu Palestin di peringkat antarabangsa, selain meneruskan sokongan melalui pelbagai bentuk bantuan.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI turut mengumumkan tambahan dana RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin termasuk dalam aspek rawatan perubatan dan pendidikan.
Perhimpunan di Dataran Merdeka malam tadi menyaksikan puluhan ribu rakyat Malaysia berkumpul menyatakan solidariti menolak kezaliman dan menuntut keadilan buat Palestin.
Datuk Seri Anwar turut mengingatkan, bulan kemerdekaan negara ini menjadi landasan untuk menyambung semangat perjuangan menentang penjajah, sama seperti yang dilakukan pejuang lampau di rantau ini, dan kini diteruskan bersama Palestin.
Beliau dalam pada itu merakamkan doa dan sokongan kepada kumpulan aktivis yang dijadualkan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini, sambil menegaskan bahawa Malaysia akan terus bersama Palestin selamanya.
"Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya."