PADANG BESAR, 25 Ogos - Program Penghayatan Kemerdekaan peringkat Parlimen Padang Besar tampil dengan kelainan apabila mengetengahkan tema warna Jalur Gemilang dan Melayu Klasik, dengan penyertaan lebih 400 penduduk setempat di Taman Rekreasi Bukit Jernih.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais, berkata semangat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara dan tanda patriotisme perlu disertai dengan pematuhan terhadap peraturan pengibarannya.
Beliau menegaskan perkara itu penting bagi mengelakkan isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik seperti yang pernah berlaku sebelum ini daripada berulang.
“Kalau kita buat perkara yang mengganggu-gugat keharmonian kaum, keharmonian negara, kerajaan atau pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perkara sebegini.
"Saya berharap apabila kita mengibarkan bendera, ia disertai dengan semangat yang tinggi bahawa negara kita ini sudah merdeka dan kita harus benar-benar menghayati serta mensyukuri nikmat kemerdekaan sebagai rakyat Malaysia.
"Sekurang-kurangnya, kibarkanlah bendera di rumah atau pada kenderaan kita sebagai tanda bahawa kita mempunyai semangat perjuangan,” katanya.
Beliau menegaskannya ketika merasmikan Program Penghayatan Kemerdekaan Parlimen Padang Besar di sini yang dihiasi pelbagai aktiviti menarik; menghimpunkan pelbagai lapisan penduduk berbilang kaum dan agama.
Antara aktiviti yang turut berlangsung termasuklah deklamasi sajak kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik, hiasan basikal bertemakan Jalur Gemilang serta kibaran Jalur Gemilang di puncak Bukit Jernih oleh 11 orang pendaki.